MENGAPA BAHAN BANTU MENGAJAR DIPERLUKAN

Dalam sistem pendidikan masa kini, penggunaan bahan dan media dalam pengajaran dan pembelajaran sudah menjadi perkara penting yang mana ianya wajib digunakan setiap kali berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran. Bahan pengajaran ini merupakan alat bantu mengajar para guru untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Dalam pengajaran, murid-murid menerima rangsangan daripada guru melalui pancainderanya. Oleh itu sesuatu  yang dapat didengar dan dilihat adalah lebih baik dan berkesan daripada setakat mendengar sahaja dan sesuatu yang dapat dipegang, dilihat dan didengar adalah lebih berkesan daripada dilihat dan didengar sahaja.
*
Selain itu, penting juga bagi guru untuk menggunakan alat bantuan mengajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Ini adalah bertujuan menambahkan kelancaran pembelajaran, meningkatkan kefahaman serta meningkatkan perhubungan antara guru dengan pelajar. Penggunaan alat bantu mengajar dapat mempercepatkan proses pemahaman pelajar dan membolehkan guru dan pelajar mengadakan komunikasi yang baik. Isi pengajaran bahasa, iaitu mesej yang hendak disampaikan dapat disalurkan melalui lisan, alat bantu mengajar, dan penulisan.  


Prinsip-prinsip Pemilihan Bahan Pengajaran Bahasa Melayu
Bahan-bahan yang hendak digunakan dalam pengajaran perlu menjalani proses pemilihan yang rapi. Proses ini haruslah dilakukan dengan memberi perhatian terhadap beberapa prinsip asas iaitu :

i)                    Kepentingan Dari Segi Objektif Pengajaran

Dalam sesuatu pengajaran terdapat dua objektif am dan objektif khusus. Objektif am merupakan matlamat yang hendak dicapai dalam jangka masa yang panjang. Sementara objektif khusus ialah matlamat jangka pendek, matlamat selepas sesuatu pengajaran.

Dalam pengajaran Bahasa Melayu, bahan pengajaran yang dipilih mestilah bersesuaian dengan objektif pelajaran. Guru harus dapat memikirkan jenis bahan yang akan digunakan dalam pengajarannya berpandukan objektif khusus. Bahan primer atau sekunder sama-sama berperanan penting dalam mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan.

ii)                  Kepentingan Terhadap Pelajar

Bahan sastera yang telah dipilih perlu disesuaikan supaya menjadi lebih menarik, berkesan, dan bermakna dalam pengajaran Bahasa Melayu. Ia berperanan merangsang dan mencabar pemikiran pelajar untuk bertindak dan mendorong mereka untuk terus maju dalam pelajaran. Rangsangan dan dorongan penting kerana dapat mewujudkan tanggapan pemerolehan, penyimpanan, pengingatan, generalisasi, prestasi dan maklum balas.


*
Minat dan pengetahuan pelajar perlu diambil kira semasa pemilihan bahan pengajaran. Perbezaan umur, kebolehan, perkembangan mental, fizikal, emosi, dan juga latar belakang serta persekitaran pelajar juga perlu dipertimbangkan oleh guru semasa membuat pemilihan dan penyesuaian bahan pengajaran. Kepelbagaian bahan amat diperlukan untuk memperkukuhkan lagi pemahaman pelajar pintar serta membantu pelajar-pelajar yang kurang cerdas memahami sesuatu pelajaran.

 Persekitaran juga merupakan salah satu faktor yang membentuk perangai dan mempengaruhi tingkah laku pelajar seperti berbudi bahasa dan memiliki moral yang baik. Bahan-bahan yang telah dipilih hendaklah bersesuaian dengan keadaan semulajadi pelajar seperti sifat suka bersaing, bermain, dan ingin tahu. Bahan-bahan pengajaran juga hendaklah disesuaikan dengan minat, nilai dan kebolehan pelajar agar hasil pembelajaran mencapai tahap yang dikehendaki.

iii)                Kepentingan Dari Segi Masa
*
Masa merupakan suatu aspek yang amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Guru bahasa perlu merancang penggunaan masanya denga teliti dan munasabah agar bahan-bahan tersebut dapat memanfaatkan pelajar. Perancangan guru hendaklah berbeza-beza mengikut perkara yang diajarkan atau dirancangkan contohnya objektif yang hendak dicapai ruang yang hendak digunakan, cara pentadbiran, dan kebolehan serta minat para pelajar.
* 

untuk maklumat lanjut, boleh rujuk di ..BBM dan kepentingannya.


No comments:

Post a Comment