Dalam sistem pendidikan masa kini, penggunaan
bahan dan media dalam pengajaran dan pembelajaran sudah menjadi perkara penting
yang mana ianya wajib digunakan setiap kali berlakunya proses pengajaran dan
pembelajaran. Bahan pengajaran ini merupakan alat bantu mengajar para guru
untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Dalam
pengajaran, murid-murid menerima rangsangan daripada guru melalui
pancainderanya. Oleh itu sesuatu yang dapat didengar dan dilihat adalah
lebih baik dan berkesan daripada setakat mendengar sahaja dan sesuatu yang
dapat dipegang, dilihat dan didengar adalah lebih berkesan daripada dilihat dan
didengar sahaja.
Selain itu, penting juga bagi guru untuk
menggunakan alat bantuan mengajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Ini
adalah bertujuan menambahkan kelancaran pembelajaran, meningkatkan kefahaman
serta meningkatkan perhubungan antara guru dengan pelajar. Penggunaan alat
bantu mengajar dapat mempercepatkan proses pemahaman pelajar dan membolehkan
guru dan pelajar mengadakan komunikasi yang baik. Isi pengajaran bahasa, iaitu
mesej yang hendak disampaikan dapat disalurkan melalui lisan, alat bantu
mengajar, dan penulisan.
Prinsip-prinsip Pemilihan Bahan Pengajaran Bahasa
Melayu
Bahan-bahan yang hendak digunakan dalam pengajaran
perlu menjalani proses pemilihan yang rapi. Proses ini haruslah dilakukan
dengan memberi perhatian terhadap beberapa prinsip asas iaitu :
i) Kepentingan Dari Segi Objektif Pengajaran
Dalam sesuatu pengajaran terdapat dua objektif am
dan objektif khusus. Objektif am merupakan matlamat yang hendak dicapai dalam
jangka masa yang panjang. Sementara objektif khusus ialah matlamat jangka
pendek, matlamat selepas sesuatu pengajaran.
Dalam pengajaran Bahasa Melayu, bahan pengajaran
yang dipilih mestilah bersesuaian dengan objektif pelajaran. Guru harus dapat
memikirkan jenis bahan yang akan digunakan dalam pengajarannya berpandukan
objektif khusus. Bahan primer atau sekunder sama-sama berperanan penting dalam
mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan.
ii) Kepentingan Terhadap Pelajar
Bahan sastera yang telah dipilih perlu disesuaikan
supaya menjadi lebih menarik, berkesan, dan bermakna dalam pengajaran Bahasa
Melayu. Ia berperanan merangsang dan mencabar pemikiran pelajar untuk bertindak
dan mendorong mereka untuk terus maju dalam pelajaran. Rangsangan dan dorongan
penting kerana dapat mewujudkan tanggapan pemerolehan, penyimpanan,
pengingatan, generalisasi, prestasi dan maklum balas.
Minat dan pengetahuan pelajar perlu diambil kira
semasa pemilihan bahan pengajaran. Perbezaan umur, kebolehan, perkembangan
mental, fizikal, emosi, dan juga latar belakang serta persekitaran pelajar juga
perlu dipertimbangkan oleh guru semasa membuat pemilihan dan penyesuaian bahan
pengajaran. Kepelbagaian bahan amat diperlukan untuk memperkukuhkan lagi
pemahaman pelajar pintar serta membantu pelajar-pelajar yang kurang cerdas
memahami sesuatu pelajaran.
iii) Kepentingan Dari Segi Masa
Masa merupakan suatu aspek yang amat penting dalam
proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Guru bahasa perlu
merancang penggunaan masanya denga teliti dan munasabah agar bahan-bahan
tersebut dapat memanfaatkan pelajar. Perancangan guru hendaklah berbeza-beza
mengikut perkara yang diajarkan atau dirancangkan contohnya objektif yang
hendak dicapai ruang yang hendak digunakan, cara pentadbiran, dan kebolehan
serta minat para pelajar.
No comments:
Post a Comment